
2 SEPTEMBER 2026
PEMAKLUMAN KAEDAH PELAKSANAAN HARI BEKERJA HIBRID (HBH) DAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP) DI FAKULTI UNDANG-UNDANG UiTM SHAH ALAM PADA SEMESTER SEPTEMBER 2026- FEBRUARI 2027 (SESI 20264)
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
YBrs Prof Dato'/Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan,
Disertakan bersama Pemakluman Kaedah Pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) dan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Fakulti Undang-Undang bagi Sesi Semester September 2026- Februari 2026 (20264) untuk rujukan YBrs Prof Dato'/Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan. Pemakluman ini adalah selaras dengan Surat Jabatan Pendaftar bertarikh 1 Ogos 2026 dan Surat Jabatan Akademik dan Antarabangsa (JANA) bertarikh 7 Ogos 2026 berkenaan pelaksanaan polisi Hari Bekerja Hibrid dan PdP.
Secara ringkas, ketetapan pelaksanaan adalah seperti berikut:
Staf Akademik – Bekerja Dari Rumah (BDR) dibenarkan pada hari Selasa dan Khamis, tertakluk kepada arahan dan polisi Universiti dari semasa ke semasa. Pensyarah yang melaksanakan BDR hendaklah bersedia untuk hadir ke Fakulti atau lokasi lain sekiranya diarahkan oleh Dekan dalam tempoh yang munasabah.
Pelajar Semester 1 dan Tahun Profesional (Semester 7 & 8) LW224 – PdP pada asasnya dilaksanakan secara bersemuka sepanjang semester. Walau bagaimanapun, PdP pada hari Selasa dan Khamis akan dilaksanakan secara dalam talian mengikut jadual penggiliran yang ditetapkan oleh Fakulti.
Pelajar Semester 2–6 LW224 dan Pascasiswazah (LLM) – PdP bagi Minggu 1–7 dilaksanakan secara dalam talian. Bermula Minggu 8–14, PdP kembali dilaksanakan secara bersemuka, dengan PdP pada hari Selasa dan Khamis tertakluk kepada jadual penggiliran yang ditetapkan.
PdP dalam talian hendaklah dilaksanakan menggunakan platform rasmi Universiti yang boleh dicapai melalui uFuture. Bagi tujuan pengesahan kehadiran dan penyertaan, pelajar hendaklah mematuhi ketetapan berkaitan pengaktifan kamera dan memberikan maklum balas apabila kehadiran diambil.
Penilaian berterusan seperti ujian, kuiz, pembentangan atau penghujahan yang memerlukan kehadiran fizikal boleh dilaksanakan secara bersemuka termasuk pada hari Selasa atau Khamis. Peperiksaan akhir/penilaian akhir pula wajib dilaksanakan secara bersemuka.
Sehubungan itu, semua staf akademik dan pelajar dimohon untuk membaca pemakluman yang dilampirkan dengan teliti, khususnya jadual penggiliran PdP pada hari Selasa dan Khamis. Soalan Lazim (FAQ) turut disediakan bagi sebagai rujukan. Ketetapan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga pemakluman terkini dikeluarkan oleh Fakulti dan Pekeliling Akademik Bil 8 Tahun 2026 adalah dibatalkan.
Sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan PdP boleh dikemukakan kepada Ketua Pusat Pengajian atau Koordinator Program masing-masing. Edaran pemakluman boleh diakses melalui pautan berikut: EDARAN
Kerjasama dan perhatian semua pihak dalam memastikan kelancaran pelaksanaan HBH dan PdP sepanjang semester ini amat dihargai.
Sekian, terima kasih.

7 SEPTEMBER 2026
PEMAKLUMAN WAKTU OPERASI TERKINI PEJABAT PENTADBIRAN/HEA FAKULTI UNDANG-UNDANG, UiTM SHAH ALAM
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
YBrs Prof Dato'/Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan,
Selaras dengan arahan Pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) bagi warga kerja UiTM, pihak Fakulti Undang-Undang, UiTM Shah Alam ingin memaklumkan perubahan waktu operasi Pejabat Pentadbiran/HEA seperti berikut, berkuat kuasa mulai 1 September 2026:
1. Operasi Secara Fizikal (Pejabat Pentadbiran & Kaunter Fakulti):
Hari: Isnin, Rabu & Jumaat sahaja.
Masa: 8.00 pagi - 5.00 petang.
2. Operasi Secara Atas Talian (Tiada Perkhidmatan Fizikal):
Hari: Selasa & Khamis.
Urusan: Sebarang urusan dan pertanyaan pada hari ini boleh disalurkan melalui telefon, WhatsApp, atau e-mel untuk tindakan dan maklum balas selanjutnya.
Kerjasama dan perhatian semua pihak dalam memastikan kelancaran pelaksanaan HBH ini amat dihargai.
Sekian, terima kasih.
